Thursday, April 14, 2011

KISAH SURAH KAHFI..


Kisah 1 : Ashabul Kahfi (ayat 9-26)

Kafir Quraisy menggunakan Yahudi sebagai penasihat untuk menjatuhkan Rasulullah s.a.w., maka Yahudi menyeru kepada golongan kafir Quraisy untuk mengajukan 3 soalan kepada Rasulullah s.a.w., sekiranya Rasulullah boleh menjawab 2 soalan maka benar beliau seorang Rasul dan sekiranya Rasulullah boleh menjawab ketiga-tiga soalan, maka beliau hanyalah seorang pendusta.

Soalan yahudi :

1. Siapakah yang tidur selama 300 tahun (dalam kiraan tahun hijriah 309 tahun)?
2. Siapakah yang menguasai timur dan barat?
3. Apa itu roh?

Nabi menyuruh kafir Quraisy tersebut pulang dan hanya akan menjawabnya beberapa hari kemudian (selepas mendapat wahyu dari Allah taala). Jawapan yang diberikan oleh Nabi kepada kafir Quraisy tersebut adalah :

1. Ashabul kahfi
2. Zulkarnain
3. (jawapan mengenai persoalan roh dijawab oleh Allah di dalam surah al-Isra')

Kisah 2 : 2 Beradik Yang Kaya (ayat 32-46)

2 beradik yang kematian ibubapa dikurniakan 2 bidang tanah. Si Abang menggunakan harta tersebut ke jalan maksiat (kemungkaran) dan Si Adik menggunakan harta tersebut dengan jalan kebajikan, banyak melakukan infaq. Si Abang yang melihat keluasan tanah adiknya semakin berkurangan lalu bertanya kehairanan, untuk apa engkau menginfaqkan hartamu kepada orang-orang miskin, kalau mereka mahu (kekayaan/kesenangan) mestilah dengan usaha sendiri. Tetapi, Si Adik lebih menyukai untuk membantu orang yang memerlukan pertolongan.

Pada suatu hari, Abangnya ke ladang tanamannya dan melihat kesemua pokok-pokok yang ditanam mati dan tidak ada apa yang tinggal, dalam sekelip mata Allah musnahkan kesemua tanaman yang ada. Hakikatnya, kepunyaan Allah lah apa yang ada di langit dan di bumi.

Pengajarannya: Apabila memandang yang cantik/indah maka sebutlah 'MASYA ALLAH', apabila melihat tanaman membesar dengan baik, pokok subur dengan baik maka perbanyakkanlah menyebut 'MASYA ALLAH'. Apabila melihat sesuatu yang tidak baik, mendengar apa-apa yang tidak baik maka sebutlah 'SUBHANALLAH'. (Masalah orang Melayu jadi terbalik, yang indah disebut subhanaLLah dan yang buruk disebut masyaAllah)

Kisah 3 : Kembara Nabi Musa & Nabi Khidir (ayat 60-82)

Ketika Nabi Musa berceramah di hadapan kaumnya, seorang pendengar bertanya "adakah lagi orang yang lebih alim dari engkau?" maka Nabi Musa a.s. menjawab "tidak".Kemudian, Nabi Musa ditegur oleh Allah taala bahawa Nabi Musa alim dalam ilmu syariat manakala ada orang yang lebih alim tetapi di bidang lain (laduni) iaitu Nabi Khidir a.s..

Maka, Nabi Musa memulakan kembaranya untuk berjumpa dengan Nabi Khidir a.s. dengan membawa Nusya Bin Nun, dengan berbekalkan ikan sebagai petunjuk (ikan tersebut akan hidup di muara pertemuan dua air dan apabila berenang airnya tidak akan bercantum) tempat pertemuan dengan Nabi Khidir a.s..

Dipendekkan kisah, akhirnya Nabi Musa bertemu dengan Nabi Khidir di tempat pertemuan yang telah Allah beri petunjuk. Syarat yang diberikan oleh Nabi Khidir kepada Nabi Musa ialah Nabi Musa tidak dibenarkan bertanya mengapa dan kenapa Nabi Khidir melakukan sesuatu dan hanya melihat sahaja. Setelah mempersetujui, maka mereka mengembara bersama.

Situasi 1.

Semasa menaiki sampan, apabila hampir tiba di tebing maka Nabi Khidir menebuk lubang pada sampan yang mereka naiki tersebut. Nabi Musa kehairanan dan bertanya mengapa Nabi Khidir menebuk lubang pada sampan tersebut sehingga hampir tenggelam. Nabi Khidir menjawab, "kan aku dah kata jangan tanya apa-apa".

Situasi 2.

Tiba di suatu tempat, Nabi Khidir memulas tengkuk seorang budak yang sedang bermain sehingga kanak-kanak itu mati. Nabi Musa mula marah kerana di dalam ilmu pensyariatan, membunuh dengan sengaja adalah haram. Nabi Khidir lalu menjawab, "kan aku dah kata jangan tanya apa-apa. Sekali lagi kamu bertanya, kita berpisah."

Situasi 3.

Tiba di suatu kampung, Nabi Khidir dan Nabi Musa yang kelaparan meminta untuk menjadi tetamu kepada mana-mana penduduk agar mendapat makanan tetapi tidak ada seorang pun penduduk kampung yang mahu menerima mereka sebagai tetamu. Mereka terus berjalan di hujung kampung dan melihat tembok yang hampir runtuh maka Nabi Khidir membaiki tembok tersebut.

Nabi Musa hairan, sudahlah tidak dibantu penduduk kampung dan tidak mahu menerima mereka sebagai tetamu, Nabi Khidir bahkan membaiki tembok yang hampir runtuh tersebut sedangkan semasa menaiki sampan, dibocorkan. Tengkuk kanak-kanak yang bermain, dipulas sehingga mati. 

Maka, Nabi Khidir berkata "kan aku dah kata jangan tanya apa-apa. Sekarang, kita berpisah." Ilmu yang ada pada Nabi Musa adalah ilmu pensyariatan sedangkan ilmu yang dimiliki oleh Nabi Khidir adalah ilmu laduni dan ianya tidak boleh dipelajari kerana ia terus kepada Allah. Sebelum berpisah, Nabi Khidir menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Nabi Musa tentang ketiga-tiga peristiwa yang berlaku.

1. Pemerintah akan merampas kesemua sampan yang cantik dan hanya akan melepaskan sampan yang bocor kepada rakyat. Sedangkan pemilik sampan tersebut hanya memiliki sampan itu untuk menyara kehidupan keluarganya.

2. Kanak-kanak tersebut apabila besar dia akan menjadi kafir bahkan dia akan menyebabkan kedua ibubapanya menjadi kafir. Setelah dimatikan, maka Allah akan menggantikan dengan kehadiran anak yang lebih baik. Ini kerana, kedua ibubapa kanak-kanak itu adalah orang yang soleh.

3. Berhampiran tembok itu ada peninggalan harta ibubapa kepada anak-anak yang sudah menjadi yatim. Sekiranya tembok itu runtuh maka anak-anak tersebut tidak akan tahu tentang peninggalan harta tersebut (yang tertimbus dengan tembok) dan apabila besar mereka akan digerakkan hati untuk mengorek kembali harta tersebut.

Sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat; "Sekiranya Nabi Musa bersabar dengan Nabi Khidir, maka tentulah kita akan mendengar banyak cerita yang menarik."

Kisah 4 : Zulkarnain (ayat 83-98)

Allah memberi kelebihan kepadanya untuk menutup pintu Yakjuj & Makjuj sehinggalah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.. Pada zaman Nabi Muhammad, pintu Yakjuj & Makjuj dibuka sedikit demi sedikit (yang mana sebelum itu setiap kali mahu dibuka, ada malaikat yang menutupnya kembali).



*Surah Kahfi elok diamalkan pada malam Jumaat untuk mengelakkan kita dari fitnah dajjal.. 
sama-sama beramal :)

No comments:

Post a Comment